Tuesday, April 10, 2012

MELAHIRKAN PENDIDIK YANG BERJAYA


Proses pendidikan adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana pendidikan bererti:
1. Mempersiapkan manusia.
2. Membentuk dan memformatnya menjadi peribadi muslim contoh.
3. Menghilangkan potensi negatif dari diri anak didik.
4. Mengembangkan potensi positif pada diri anak didik.
Pendidikan bererti berinteraksi dengan makhluk manusia yang memiliki banyak dimensi dan permasalahan yang kompleks. Orang yang berinteraksi dengan makhluk selain manusia dengan mudah dapat menundukkan dan mengendalikannya namun berinteraksi dengan manusia tidak dapat disamakan dengan berinteraksi dengan binatang atau makhluk lainnya.
Dengan yang demikian, membangun manusia dengan proses pendidikan memerlukan pendidik-pendidik yang profesional. Oleh kerana itu, tidak semua orang mampu mendidik, bahkan orang yang sudah memiliki :
a. Kefahaman yang bagus.
b. Latarbelakang ilmiah yang memadai.
c. Kemampuan berbicara.
d. Kemampuan berdialog yang baik.sekalipun, masih belum cukup untuk menjadi pendidik yang berjaya.
Mengingati bahwa mendidik manusia bukan suatu pekerjaan yang mudah maka para pendidik dituntut untuk terus melakukan peningkatan kualiti diri agar menjadi pendidik yang profesional.
DEFINiSI PENDIDIK
Menurut syariat Islam, Pendidik Muslim adalah orang yang berkewajiban melakukan tugas Pendidikan Islam di mana fokus kerjanya ialah pada pembentukan peribadi muslim soleh (baik) dan musleh (melaksanakan tugas pengislahan) yang memberi perhatian kepada aspek-aspek berikut :
PERTAMA : Aspek pembentukan.Aspek ini memberikan penekanan kepada tiga (3) sisi penting iaitu : Pembentukan jiwa kerohanian.Pembentukan wawasan pemikiran.Pembentukan kegiatan amal.
KEDUA : Aspek pemeliharaan.Setelah ketiga-tiga sisi di atas telah wujud dalam peribadi anak didik, maka ianya perlu dijaga dan dipelihara serta dibuat penilaian supaya tidak berkurang, menurun atau melemah.
KETIGA : Aspek pengembangan.Setelah adanya usaha-usaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan serta meningkatkan kualiti, maka di samping itu perlu pula ada pandangan jauh ke depan bahwa tugas pendidikan mesti bersedia dan mampu menawarkan konsep perubahan yang mampu mengajukan jalan penyelesaian kepada berbagai permasalahan umat dan berani tampil untuk memimpin umat.
KEEMPAT : Aspek pengarahan.Akhirnya proses itu mestilah juga mampu bagi memperkasakan kualiti diri untuk menjadi unsur perubah yang aktif dan produktif di mana pendidik sepatutnya mampu untuk : a. Mengarahkan. b. Meletakkan fungsi. c. Memperkasakan anak didik mereka sesuai dengan bidang dan kapasitinya.
Manakala anak didik mereka pula hendaklah sentiasa bersedia untuk : a. Diarahkan. b. Ditugaskan. c. Ditempatkan. d. Diberi fungsi.
sehingga kedua-duanya mampu memberikan sumbangan yang nyata dan praktikal untuk masyarakat dan umat serta tidak ragu-ragu untuk berjuang dan berkorban demi tertegaknya Agama Islam.
RASULULLAH SAW SEBAGAI PENDIDIK
Manusia pertama dalam Islam yang bekerja sebagai pendidik adalah Rasulullah saw.Di dalam Al-Qur'an banyak ayat yang menjelaskan fungsi pendidik seperti di dalam ayat-ayat berikut :"Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (QS Ali Imran : 164)
"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta buruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata". (QS Al Jumu'ah : 2)
 Di dalam surah Al-Baqarah, Allah swt berfirman :"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui." (QS Al Baqarah : 151)
Dalam ayat di atas, adalah jelas bahwa Rasulullah saw diutus kepada ummatnya sebagai pendidik (kama arsalna fikum rasulan minkum).Selain itu, baginda dalam melaksanakan fungsi pendidikan telah dibekalkan dengan kurikulum dan penguasaannya yang benar dan utuh (yatlu `alaikum ayatina).
TUGAS PENDIDIKAN BUKAN MUDAH
Sudah menjadi tugas dan kewajiban seorang guru untuk menjadikan anak-anak didiknya menjadi peribadi yang berjaya dan juga berdikari dalam segala hal di dalam kehidupannya, termasuk juga menanamkan nilai-nilai kebaikan kepada anak didik mereka.Perkara ini bukanlah persoalan yang mudah bagi seorang pendidik untuk dapat mencapai matlamat yang digariskan di atas kerana ia memerlukan : Kerja keras.Kesabaran.Strategi.Contoh tauladan yang terbaik.
Menanamkan kebiasaan yang baik kepada anak didik haruslah dengan contoh-contoh yang realistik yang kemudiannya boleh dilihat oleh anak didik secara "real" dengan mata kepala mereka sendiri. Sebagai contoh, suasana anak didik yang suka berteriak dan meninggikan suara di sekolah, boleh jadi kerana mereka biasa ditengking dirumahnya oleh ibu bapanya, orang-orang yang mengasuhnya ataupun juga teman-teman sepermainannya. Banyak lagi contoh dan peristiwa yang mungkin kita temui dalam kehidupan seharian kita tentang ketidakbaikan yang dilakukan oleh anak didik adalah disebabkan oleh keburukan yang ditunjukkan oleh orang dewasa ataupun teman sepermainan yang ada di sekitarnya.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIANAda beberapa perkara yang mesti kita perhatikan ketika kita ingin menanamkan kebiasaan-kebiasaan yang baik terhadap anak didik kita iaitu :
PERTAMA : BERIKAN QUDWAH ATAU CONTOH YANG BAIK TERHADAP MEREKA
Sudah pasti, menjadi seorang guru memerlukan keupayaan seseorang untuk dapat memberikan qudwah atau contoh yang terbaik terhadap anak-anak didiknya.Mana mungkin pelajar yang kita didik akan menjadi peribadi yang baik jikalau kita sebagai seorang guru tidak memberikan contoh dan tauladan yang baik terhadap mereka.Banyak perkara yang kemudian boleh kita lihat di dalam realiti dan keadaan pendidikan kita ketika ini, manakala seorang guru hanya mengajarkan perkara-perkara yang bersifat teori semata-mata ataupun penyampaian bahan sahaja tetapi tidak mendorong pelajar dari sudut pendidikan yang lainnya seperti tingkah lakunya, motivasinya dan lain-lain.Kita tidak seharusnya mudah merasa bangga ketika anak didik kita berjaya di dalam bidang akademik mereka akan tetapi di sisi yang lainnya mereka tidak cerdas bahkan terkebelakang dari segi : Moral.Tingkah laku.Cara berfikir.dan hal-hal yang lainnya.Hal ini boleh berlaku mungkin disebabkan oleh ketidakpedulian kita terhadap perkara-perkara baik yang seharusnya kita contohkan kepada anak-anak didik kita.
KEDUA : BERIKANLAH GANJARAN DAN PUJIANKita pasti merasa senang dan gembira ketika orang atasan kita memberikan "reward" (ganjaran). Boleh jadi ganjaran yang diberikan kepada kita bukanlah besar sangat.Janganlah kita melihat besar atau kecilnya ganjaran ataupun barang yang akan diberikan akan tetapi kita melihat kepada inti dari pemberian ganjaran itu iaitu untuk memberikan penghargaan terhadap apa yang telah dilakukan.Ingat, bahwa apa yang kita berikan tidak semestinya berupa barangan akan tetapi boleh juga dalam bentuk ucapan seperti : Bagus.‘Well done’.‘Good work’.‘Keep it up’,
Ucapan-ucapan inilah yang kemudiannya akan membuatkan anak didik kita melakukan perkara yang serupa terhadap temannya ataupun orang dewasa yang ada di sekitar mereka kerana dia sudah biasa melakukan kebaikan dan kemudian dihargai dengan ucapan atau perbuatan yang baik sehingga secara automatiknya akan timbul kesedaran dalam peribadinya.
KETIGA : CERITAKANLAH PERJALANAN HIDUP / KISAH YANG BOLEH MEMOTIVASI MEREKA
Banyak sekali buku-buku cerita / kisah-kisah yang boleh meningkatkan motivasi anak didik untuk melakukan nilai-nilai kebaikan.Contohnya seperti cerita tentang bagaimana mendidik anak didik supaya gemar bersedekah, tidak membazir, menghormati ibu bapa dan lain-lain.Kita yang sudah dewasa pun masih suka mendengar cerita-cerita ataupun kisah perjalanan hidup insan cemerlang apalagi anak-anak didik kita.
KEEMPAT : INGATKANLAH MEREKA PADA SETIAP KESEMPATAN SEHINGGA PERKARA ITU MENJADI SEBUAH KEBIASAAN DALAM KEHIDUPAN MEREKAMendidik bukanlah hanya sekadar mengajarkan sahaja apa yang kemudiannya mesti dicapai oleh anak didik, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana sebuah teori ataupun inti pendidikan itu sendiri boleh diaplikasikan oleh anak didik dalam kehidupan seharian mereka.Oleh kerana itu, ingatkanlah mereka pada setiap kali kita bersama mereka untuk melakukan nilai-nilai kebaikan itu dalam kehidupan seharian mereka.Harapannya adalah supaya kemudian ianya akan menjadi sesuatu yang secara otomatiknya akan
diaplikasikan dalam kehidupannya tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.
KELIMA : AJAK MEREKA KEPADA SESUATU YANG SIFATNYA “REAL” DAN TIDAK HANYA BERSIFAT TEORI
Mengajak mereka dalam kegiatan pembelajaran dan ko-Kurikulum bagaimana untuk merealisasikan sikap dan tingkah laku kita ketika berbicara dengan orang yang lebih tua ataupun yang lebih muda, lemah lembut dalam berkata-kata dan perkara-perkara baik yang lainnya akan membuatkan anak didik semakin ingat untuk sentiasa melaksanakan nilai-nilai kebaikan itu di dalam kehidupan mereka.Janganlah kita hanya berkata-kata sahaja terhadap mereka akan tetapi juga berikanlah contoh "real" atau aksi nyata terhadap mereka di atas apa yang menjadi landasan teori yang kemudiannya direalisasikan melalui perlakuan di alam yang nyata.Tidak dinafikan pentingnya kurikulum dan wasilah-wasilah pendidikan, namun ianya selepas adanya pendidik yang berkemampuan lagi bijak, yang mendidik dan mengajar menggunakan : Akal.Hati.Jiwa.Ruh.Budi Pekerti.
MARI DAPATKAN SAHAM KITA
Ramai peribadi yg telah berubah perjalanan hidup mereka kerana satu hadiah dari pendidik yang ‘ikhlas’ ataupun tumpuan sejenak dari pendidik yang mulia.Sertakan ‘kesabaran’ dalam tugas pendidikan kita, sesungguhnya seseorang itu tetap dalam keadaan beribadat yang dikurniakan ganjaran sekiranya kita ‘ikhlaskan niat’ kerana Allah.Sesungguhnya orang-orang yang di bawah tanggungjawab pendidikan kita hari ini adalah tunggak bagi perkembangan dakwah dan ummah di masa hadapan.Mari kita dapatkan saham dari saham-saham kebaikan, iaitu : Berkhidmat untuk agama.Mendidik untuk pembangunan akhlak mulia.Menanam nilai-nilai dan asas-asas kebaikan dalam diri anak didikmu.Kelak kita akan melihat masa depan yang menyejukkan mata kita dan di Akhirat pula ianya menjadi sesuatu yg meninggikan darjat kita.Perumpamaan seorang pendidik adalah seperti :“Bumi yang subur kehijauan memerlukan petani yang menyemai tanaman.”
KEUTAMAAN PENDIDIKKita percaya pendidik dalam tugas pendidikannya adalah seperti pakar bedah dalam bilik operasinya, di mana di tangannya terletak kesembuhan pesakit (dengan izin Allah) ataupun kematiannya (dengan izin Allah), walau sehebat manapun hospital, peralatan dan kecanggihan peralatan pembedahan kerana hanya dengan kesilapan kecil pakar bedah itu sahaja boleh membawa padah yang buruk.Ya! demikianlah ‘kerja-kerja pendidikan’ di mana kejayaannya bergantung kepada sejauh mana hubungan fikiran, perasaan dan jiwa di antara pendidik dengan anak didik melalui ilmu dan kemahirannya.Maka kerja pendidikan itu merupakan satu : Seni.Anugerah.Begitu juga ia adalah : Ilmu.Amal
Sekiranya kita hanya tumpukan kepada ilmu semata-mata, jadilah kerja pendidikan itu seumpama membangun busut pemikiran dan maklumat yang sebenarnya boleh didapati di dalam buku-buku dan jurnal-jurnal.Sekali-kali kita tidak berhajat kepada ciptaan bernyawa yang merbahaya dan membinasakan seperti itu, ataupun kita tidak juga berhajat kepada seseorang yang diistilahkan sebagai pendidik seumpama itu.Pendidik yang berkemampuan lagi tinggi motivasinya mampu merubah keadaan yang sangat sukar kepada satu kekuatan yang mendorong kepada sumbangan dan pengorbanan.Manakala pendidik yang lemah dan pembinasa semangat boleh merubah keadaan yang paling baik kepada ‘jadam’ yang pahit, menjadikan terputusnya ikatan dan lemahnya perasaan serta menyebarkan kesan yang sangat negatif dalam kerja-kerja pendidikan.
Sesungguhnya! “Di sebalik ummat yang hebat, terdapat pendidikan yang hebat.”“Di sebalik pendidikan yang hebat, terdapat pendidik yang benar, jujur dan ikhlas.”Sesungguhnya tugasmu adalah berkorban kerana ia adalah ibu segala pekerjaan. Di atas bahumulah tanggungjawab membina ummah seluruhnya. Wahai warga pendidik! Kamu adalah asasnya. Kuatnya ummah kerana kuatnya kamu dan lemahnya ummah adalah kerana lemahnya kamu.
Ya Allah, mudahkanlah kami sebagai warga pendidik untuk menyampaikan bahan pendidikan dengan cara yang terbaik dan berkesan serta memberi keutamaan kepada perkara yang perlu diutamakan dahulu dan mencapai matlamat untuk mengubah dari sesuatu yang bersifat teori kepada yang bersifat amali dan praktikal. Kurniakanlah kami ketenangan dalam kami melaksanakan tugas untuk mencapai objektif pendidikan sehingga ianya menjadi penunjuk jalan kepada mereka-mereka yang mendapat bahan pendidikan dari kami.

No comments:

Powered by Blogger.